News

LPR adakan upacara persembahan Pesta Hantu Lapar
Posted on : 31 Aug 2023  Source of News: Utusan Borneo
 

LPR adakan upacara persembahan Pesta Hantu Lapar

Lim (lima kiri) bersama yang lain ketika upacara persembahan di dermaga Lembaga Pelabuhan Rajang, hari ini.
Lim (lima kiri) bersama yang lain ketika upacara persembahan di dermaga Lembaga Pelabuhan Rajang, hari ini.

SIBU: Lembaga Pelabuhan Rajang (LPR) mengadakan upacara persembahan sempena Pesta Hantu Lapar yang disambut hari ini di dermaga pelabuhan.

Pengurus Besar LPR Datin Helen Lim berkata, upacara tahunan itu bagi memohon restu dan perlindungan semua pekerjanya serta mereka yang berurusan dengan LPR terutama para pelanggan pelabuhan.

"Kita membuat persembahan ini untuk keselamatan semua pekerja di pelabuhan serta untuk berdamai dengan roh bagi melindungi semua yang keluar masuk pelabuhan dan mereka yang menjalankan perniagaan dengan kita.

"Sebagai sebuah pelabuhan, kita sering menekankan aspek keselamatan dan kita perlu menjaga keselamatan semua dalam apa jua cara yang termampu," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.

Lim berkata, setiap tahun pihak pengurusan pelabuhan akan memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan upacara itu dianjurkan dengan lancar.

"Wang ini akan dibelanjakan untuk membeli barangan bagi upacara tersebut dan memberi elaun kepada mereka yang terlibat dengan upacara.

"Dengan upacara ini, pekerja merasa lebih selamat serta tenang apabila membuat kerja mereka. Jadi, ia bukan hanya melibatkan fizikal, tetapi rohani dan mental juga,” katanya.

Beliau juga memberitahu, LPR akan meneruskan setiap tahun upacara tersebut yang telah dilakukan sejak 40 atau 50 tahun lepas.