SIBU: Lembaga Pelabuhan Rajang (RPA) mengadakan upacara 'peace offering' di dermaganya hari ini sempena 'Pesta Hantu Lapar.'
Pengurus Besar RPA Datin Helen Lim berkata, upacara tahunan itu telah dilakukan sejak 40 atau 50 tahun lalu di RPA untuk memohon restu dan perlindungan semua pekerjanya dan mereka yang menjalankan perniagaan dengan RPA.
"Sebab mengapa ia dianjurkan adalah untuk keselamatan pekerja kami di trafik, dermaga dan kawasan operasi dan kami juga meminta untuk berdamai dengan roh untuk melindungi semua yang keluar masuk pelabuhan dan mereka yang menjalankan perniagaan dengan kami.
"RPA sebagai pelabuhan, kami menekankan keselamatan, dan saya boleh katakan, industri pelabuhan bukanlah yang paling selamat untuk bekerja, tetapi kami perlu memastikan keselamatan dalam apa jua cara yang termampu," katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata, setiap tahun pihak pengurusan akan memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan upacara itu dianjurkan dengan betul.
Wang itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan bagi upacara tersebut dan memberi elaun kepada mereka yang bekerja di bawah terik matahari untuk majlis itu, ujarnya.
"Orang ramai di lapangan memberitahu saya sebentar tadi bahawa mereka gembira kerana kami mengekalkan tradisi ini. Mereka mempunyai rasa selamat apabila mereka bekerja. Jadi, ia bukan sahaja fizikal, tetapi rohani dan mental juga,” katanya.
Beliau menambah, RPA akan meneruskan program itu setiap tahun.